Wednesday, October 24, 2012

-: Doa senjata Mukmin :-

Assalamualaikum


Amalan diharuskan syarak sama ada ketika senang atau susah

Doa adalah amalan yang diharuskan syarak dan ibadat sangat dituntut selain berperanan sebagai kunci utama memohon bantuan Allah SWT. Berdoa juga membolehkan hajat dimakbulkan, dibuka pintu kelapangan dan dihindarkan musibah atau diselamatkan daripada kejadian tidak diingini.
dilakukan sepanjang masa sama ada ketika susah atau senang bagi membuktikan kita sentiasa bergantung kepada-Nya. Adalah kurang enak seseorang hamba itu hanya berdoa kepada Tuhan ketika ditimpa kesusahan sedangkan pada masa senang lupa kepada Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang terbuka hatinya untuk berdoa, terbuka baginya pintu-pintu rahmat dari Allah dan sekiranya tidak meminta sesuatu dari Allah yang disukainya melebihi permintaannya supaya diberi akibat.” (Riwayat at-Tarmizi)


Tak faham hakikat doa sebenar

Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan masyarakat Melayu tidak memahami hakikat doa yang sebenarnya sehingga menganggap doa adalah adat diwarisi sejak zaman berzaman. Oleh itu, tidak hairanlah masih ramai menjadikan doa sebagai acara pembuka majlis.

Malah, ada yang tidak menyelidik terlebih dulu bentuk majlis dianjurkan hingga terjadi perkata tidak sepatutnya. Selepas doa dibacakan, majlis diserikan dengan tarian, lagu kugiran dan pelbagai lagi anasir maksiat yang dibenci Allah.

Ada juga majlis yang tidak dimulakan dengan doa tetapi ditutup dengan bacaan doa sedangkan terdapat unsur maksiat dalamnya.
Ramai juga kalangan umat Islam khususnya jemaah surau dan masjid yang mengabaikan doa dan bingkas bangun tanpa berdoa sebaik solat. Begitu juga ketika solat Jumaat dengan deruman motosikal kedengaran sebaik saja imam melafazkan salam kedua.

Mungkin mereka tidak mengetahui fadilat berdoa atau mungkin ada urusan penting yang perlu diutamakan. Mungkin juga mereka berpandangan solat itu adalah doa kerana solat bermaksud doa yang menyaksikan hamba-Nya berkomunikasi secara terus dengan Khaliq (Allah) lima kali sehari.

Contoh doa yang dibaca dalam solat ialah bacaan ketika duduk antara dua sujud: “Oh Tuhan, ampunilah aku, kasihanilah aku, tutuplah aibku, tinggilah darjatku, berilah rezeki kepadaku, tunjuklah aku, sejahteralah aku dan maafkanlah aku.”

 


Teras penting

Mengikut kesepakatan Ahli Sunnah Wal Jamaah, doa adalah teras penting selepas berusaha dan berikhtiar sebelum bertawakal kepada Allah. Begitupun, janganlah disalahertikan kononnya dengan berdoa kita akan mendapat segala-galanya tanpa perlu bersusah payah.

Rasulullah SAW memperakukan: “Doa umpama senjata orang Mukmin dan sendi kekuatan agama juga cahaya yang berkilauan di langit dan bersinar di bumi.” (Riwayat al-Hakim)

Berdasarkan hadis itu dapatlah dibuat kesimpulan bahawa seseorang yang tidak istiqamah dalam berdoa akan mengalami kerugian antaranya kehidupan tanpa senjata, seni kekuatan agama menjadi lemah dan luntur serta tiada berkat.

Allah menciptakan kita dan Dia mengetahui betapa lemahnya makhluk bernama manusia. Oleh itu kita diperintahkan supaya berdoa kepada-Nya.

Allah berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu itu. Sesungguhnya orang yang sombong, takbur daripada beriabadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukminum, ayat 60)

Rasulullah SAW adalah antara hamba Allah yang tidak jemu bermunajat kepada Allah sama ada ketika senang mahupun susah, ketika aman mahupun di medan perang.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang terbuka hatinya untuk berdoa, terbuka baginya pintu-pintu rahmat dari Allah dan sekiranya tidak meminta sesuatu dari Allah yang disukainya melebihi permintaannya supaya diberi akibat.” (Riwayat at-Tarmizi)


Adab tertentu

Doa juga mempunyai adab tertentu antaranya perlu dimulakan dengan memuji Allah, mengutamakan waktu yang mulia seperti pada hari Arafah, Ramadan, Jumaat dan waktu sahur; menghadap kiblat; disunatkan mengangkat kedua-dua tangan; merendahkan nada suara; tawaduk; berdoa dengan bersungguh-sungguh iaitu yakin Allah memakbulkannya dan berulang-ulang.

Menurut riwayat, ketika Ibrahim Adham (ahli sufi) berada di tengah-tengah bandar Basrah (bandar pelabuhan di selatan Iraq), beliau dikerumuni khalayak. Ada seorang lelaki bertanya: “Kenapa doa mereka tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal mereka selalu berdoa kepada-Nya.”

Ibrahim Adham menjawab kerana hati buta disebabkan 10 perkara:


 
  • kamu mengenali Allah SWT, tetapi kamu tidak menunaikan suruhannya,
  • kamu menyatakan kamu cintakan Rasulullah SAW, tetapi kamu meninggalkan sunnahnya,
  • kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengan isi kandungannya,
  • kamu memakan nikmat Allah SWT, tetapi kamu tidak bersyukur,
  • kami berkata bahawa syaitan musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya,
  • kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya,
  • kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak melarikan darinya,
  • kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya,
  • kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa akan keaiban diri sendiri,
  • kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.




  • **sumber dr berita harian


    1 comment:

    thanks sudi baca dan komen kat blog ni :)