Friday, October 25, 2013

Pengorbanan Tiga Insan


Hari Raya Aidiladha mempunyai banyak keistimewaan yang harus
diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil
iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya,
Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.


Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta
ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa
kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran
luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak yang solih berjiwa takwa,
tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah
Allah.


Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan
segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja.
Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan
bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran
dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian
dari syiar (lambang) Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke
Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie
(berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka
rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi
balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 158)

Ibrahim Al-Sari berkata, Safa bermaksud batu keras dan kental. Oleh itu,
sebatang pohon tidak tumbuh di atasnya manakala Marwah pula ialah batu
lembut. Kedua-dua tempat itu dijadikan syiar Allah untuk dilaksanakan
salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie.

Syiar bermaksud tanda atau lambang ibadah kepada Allah. Oleh itu,
ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang diperintahkan kepada hamba
Allah sebagai satu ibadat kepada Allah dengannya daripada segala urusan
agama seperti tawaf, saie, wukuf di padang Arafah dan melontar Jamrah di
Mina. Sayid Qutub dalam kitab tafsirnya berkata, sesiapa yang
berkeliling antara dua bukit, bererti dia menunaikan syiar untuk Allah.

Syeikh Sya'rawi pula menyatakan, dua bukit Safa dan Marwah mengingatkan
nostalgia lama bagaimana Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara
kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di
sisi Baitullah al-Haram.

Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama
anak kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?

Di sinilah lahirnya ucapan Hajar yang masyhur, iaitu kepada siapa kamu
serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu berbuat demikian?
Lantas jawab Nabi Ibrahim: Ya, dengan penuh yakin. Isterinya yang
solihah berkata: Jika begitu, Allah SWT tidak akan mengabaikan kami.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam
menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat
Islam yang amat penting.


Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya, " Padanya terdapat
tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim ; barangsiapa
memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah
kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup
mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan
haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari
semesta alam " (Ali Imran :97)


Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak
membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah
kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam
untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya
melalui firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang
dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang
mempunyai berkat dan menjadi petunjuk bagi semua manusia." (Ali Imran:
96)


Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa
penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha
menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim
disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar 'Ulul Azmi yang
memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu
satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk
mencari keredaan Allah.

Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak
mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari
Arafah. Berpuasa pada hari-hari 10 ini merupakan perkara yang semulia
bagi mendekatkan seorang Islam kepada Tuhannya (Tidak dikira hari yang
ke 10, yang merupakan hari Eid, maka ia haram dengan pasti).

Dan hari yang paling banyak fadhilatnya adalah hari ke 9, iaitu hari
Arafah, hari dimana jemaah Haji berwukuf dengan keadaan menghadapi kusut
dan berabuk, dengan pakaian ihram yang menyerupai kain kafan orang mati,
tunduk kepada Allah menjawab seruannya, lalu berdo'a kepadanya.

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah
dan berdo'a, dan mereka yang lain (selain dari jemaah haji) berada
dirumah mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya
tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda : "Puasa hari
Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa
setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat
Tirmudzi]. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk
umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan
kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan
minum.

Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan
mengucapkan takbir. Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan
bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah
sehingga hujung waktu 'Asar hari ketiga Tashriq.


Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke
masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat
demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal
untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang
menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh
dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.


Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih
binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan
sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi
SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan
(rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik)
sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya."
(Riwayat Asy Syihaab).


Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang
dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari
Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).


Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah
masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat
dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid.
Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu
golongan yang kurang bernasib baik.


Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di
kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat
korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian
makan bersama-sama daging korban dimasak.


Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan
melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah
berat." (Ibrahim:7).