Friday, October 25, 2013

Pengorbanan Tiga Insan


Hari Raya Aidiladha mempunyai banyak keistimewaan yang harus
diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil
iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya,
Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.


Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta
ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa
kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran
luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak yang solih berjiwa takwa,
tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah
Allah.


Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan
segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja.
Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan
bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran
dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian
dari syiar (lambang) Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke
Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie
(berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka
rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi
balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 158)

Ibrahim Al-Sari berkata, Safa bermaksud batu keras dan kental. Oleh itu,
sebatang pohon tidak tumbuh di atasnya manakala Marwah pula ialah batu
lembut. Kedua-dua tempat itu dijadikan syiar Allah untuk dilaksanakan
salah satu daripada rukun haji iaitu bersaie.

Syiar bermaksud tanda atau lambang ibadah kepada Allah. Oleh itu,
ditakrifkan syiar sebagai setiap apa yang diperintahkan kepada hamba
Allah sebagai satu ibadat kepada Allah dengannya daripada segala urusan
agama seperti tawaf, saie, wukuf di padang Arafah dan melontar Jamrah di
Mina. Sayid Qutub dalam kitab tafsirnya berkata, sesiapa yang
berkeliling antara dua bukit, bererti dia menunaikan syiar untuk Allah.

Syeikh Sya'rawi pula menyatakan, dua bukit Safa dan Marwah mengingatkan
nostalgia lama bagaimana Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara
kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Ibrahim di
sisi Baitullah al-Haram.

Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama
anak kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air?

Di sinilah lahirnya ucapan Hajar yang masyhur, iaitu kepada siapa kamu
serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu berbuat demikian?
Lantas jawab Nabi Ibrahim: Ya, dengan penuh yakin. Isterinya yang
solihah berkata: Jika begitu, Allah SWT tidak akan mengabaikan kami.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam
menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat
Islam yang amat penting.


Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya, " Padanya terdapat
tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim ; barangsiapa
memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah
kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup
mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan
haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari
semesta alam " (Ali Imran :97)


Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak
membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah
kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam
untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya
melalui firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang
dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang
mempunyai berkat dan menjadi petunjuk bagi semua manusia." (Ali Imran:
96)


Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa
penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha
menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim
disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar 'Ulul Azmi yang
memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu
satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk
mencari keredaan Allah.

Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak
mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari
Arafah. Berpuasa pada hari-hari 10 ini merupakan perkara yang semulia
bagi mendekatkan seorang Islam kepada Tuhannya (Tidak dikira hari yang
ke 10, yang merupakan hari Eid, maka ia haram dengan pasti).

Dan hari yang paling banyak fadhilatnya adalah hari ke 9, iaitu hari
Arafah, hari dimana jemaah Haji berwukuf dengan keadaan menghadapi kusut
dan berabuk, dengan pakaian ihram yang menyerupai kain kafan orang mati,
tunduk kepada Allah menjawab seruannya, lalu berdo'a kepadanya.

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah
dan berdo'a, dan mereka yang lain (selain dari jemaah haji) berada
dirumah mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya
tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda : "Puasa hari
Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa
setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat
Tirmudzi]. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk
umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan
kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan
minum.

Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan
mengucapkan takbir. Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan
bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah
sehingga hujung waktu 'Asar hari ketiga Tashriq.


Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke
masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat
demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal
untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang
menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh
dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.


Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih
binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan
sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi
SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan
(rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik)
sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya."
(Riwayat Asy Syihaab).


Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang
dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari
Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).


Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah
masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat
dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid.
Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu
golongan yang kurang bernasib baik.


Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di
kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat
korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian
makan bersama-sama daging korban dimasak.


Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan
melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah
berat." (Ibrahim:7).

Saturday, June 8, 2013

Wanita patut dihormati, dilindungi

Assalamualaikum





Angkat maruah, elak jadi mangsa jenayah seksual, penderaan

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pernah menjadi mangsa penindasan yang dilakukan melalui pendekatan sosial, undang-undang, ekonomi bahkan juga melalui budaya dan cara hidup yang menjadikan wanita sebagai golongan yang teraniaya.

Tamadun Barat membuktikan hakikat itu melalui sekatan yang dilakukan ke atas wanita daripada mengundi dalam pilihan raya, memiliki harta dan sebagainya.
Dalam dunia Islam pula, kita tidak pernah sunyi daripada kisah bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana percaya dengan momokan bahawa zuriat perempuan akan memalukan keluarga dan menyebabkan kepapaan.


Golongan wanita pula dipaksa bekerja tanpa belas kasihan, tidak boleh mempusakai harta dan boleh dicampuri dengan bebas, bahkan janda pula boleh diwarisi.



Islam angkat martabat wanita

Sejak kedatangan wahyu sehinggalah ke hari ini, Islam mengangkat martabat wanita setaraf dengan lelaki dalam urusan ibadat.

Dalam surah An-Nisaa’ ayat 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesiapa yang berbuat amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah seorang yang beriman, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga.’
Seperti lelaki, wanita juga boleh mewarisi harta. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 7 yang mafhumnya: ‘Untuk orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya dan bagi orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya’.

Bahkan Allah mengingatkan bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada setiap makhluk di muka bumi. Justeru, kepercayaan bahawa anak perempuan akan menyebabkan kepapaan adalah satu iktikad karut dan akan menghancurkan akidah umat Islam.

Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah (Allah) memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.’

Dengan peringatan ini, wanita Islam di Malaysia tidak lagi diletakkan sebagai ‘manusia yang berbeza’ daripada lelaki dalam peruntukan undang-undang, melainkan dalam beberapa keadaan yang mana wanita diberi kedudukan yang lebih istimewa daripada lelaki demi memberi keadilan kepada mereka kerana sejarah dan sistem pernah menindas golongan ini.



Beri kelebihan kepada wanita

Polisi kerajaan juga banyak memberi kelebihan kepada wanita berbanding lelaki, terutama dalam sektor ekonomi, perlindungan dari jenayah seksual, politik, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan juga dalam urusan perkahwinan dan kekeluargaan.

Masalahnya, undang-undang dan polisi masih belum cukup melindungi wanita sekiranya masyarakat seluruhnya tidak dapat menjadikan wanita sebagai golongan perlu dihormati dan dilindungi seperti yang diperintahkan Allah SWT.

Undang-undang hanya sempurna di dalam akta dan enakmen, manakala polisi pula hanya menjadi projek yang harus dilangsaikan seusai penggal tertentu sedangkan masyarakat masih tidak dapat membina struktur sosial yang memuliakan wanita.

Akibatnya, kanak-kanak perempuan dan wanita menjadi mangsa jenayah dan jenayah seksual dalam atmosfera awam dan juga dalam institusi keluarga.

Keganasan demi keganasan menjadikan wanita sebagai mangsa fizikal dan psikologi sehingga wujudnya keruntuhan sosial seperti sumbang mahram, rogol, zina, pembuangan anak, poligami tanpa keadilan, gangguan seksual di pejabat dan sebagainya.

Sesetengah wanita pula masih mengamalkan gaya hidup jahiliah dan bebas bersosial serta tidak meletakkan diri dalam pakaian muslimat yang sebenarnya sehingga tidak segan silu dijadikan ‘permainan’ dunia.



Banyak faktor zalimi wanita

Kerelaan wanita itu sendiri untuk dijadikan alat maksiat sering kali dijadikan alasan oleh mereka yang suka menyalahkan golongan ini sebagai ‘sengaja mencari pasal’, sedangkan banyak lagi faktor lain yang menyebabkan wanita dizalimi, tetapi tidak pula ketara dibahaskan.

Amaran dan hukuman yang sedia ada masih belum mampu mencegah penularan jenayah terhadap wanita. Paling penting menyedarkan setiap ahli masyarakat supaya melindungi wanita, walaupun mereka sengaja mendedahkan diri kepada jenayah seksual, dalam masa yang sama mendidik dan mentarbiyah golongan ini mengikut neraca Islam dan moral.

Inisiatif Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-87 menubuhkan kumpulan pakar berperanan memberi penjelasan secara ilmiah berkaitan isu semasa kepada masyarakat adalah tindakan yang tepat.

Ia sesuai dengan keperluan negara hari ini yang kekurangan pandangan pakar dalam menangani masalah membabitkan wanita Islam.

Keutamaan hari ini ialah memperbetulkan salah faham serta kekeliruan mengenai wanita Islam selain menasihati pembuat dasar atau pihak terbabit dengan isu semasa berkaitan wanita melalui kerangka dasar, sosial, undang-undang, media serta pembangunan insan.



Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber dr berita harian

Friday, June 7, 2013

Kelebihan baca al-Quran

Assalamualaikum



Kelebihan baca al-Quran 
Amalan membaca al-Quran wajar dijadikan budaya hidup. - Gambar hiasan
 
 
 
Mukjizat besar tenangkan jiwa, kawal amarah

Kehidupan di dunia yang penuh pancaroba kini memaksa manusia supaya lebih bersabar dalam menjalani kehidupan seharian. Kadangkala kebahagiaan dan penderitaan datang bersilih ganti.
Perkara sebeginilah yang menguji daya tahan kekuatan seseorang Muslim sebenarnya sama ada mampu mengawal emosi ataupun sebaliknya.
Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan yang dihadapi. Kebiasaannya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi.



Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.


Baca al-Quran rawat emosi

Masyarakat Islam seharusnya sedar ubat paling mujarab untuk merawat emosi di kala ditimpa kesusahan adalah dengan membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan dan sering dilupakan kecuali apabila tiba bulan Ramadan saja.
Kitab suci teragung ini mampu memperkukuh kekuatan dalaman dan memberikan ketenangan jiwa dalam diri manusia selain menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut.

Muslim mengetahui dengan membaca al-Quran akan mendapat pahala, namun tidak ramai yang tahu membacanya adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’ ayat 82).

Ayat ini menjelaskan sesungguhnya orang yang mengamalkan ayat suci al-Quran akan mendapat rahmat melaluinya.

Firman Allah lagi bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57). Ini jelas menunjukkan masalah jiwa dan emosi boleh dirawat melalui amalan pembacaan al-Quran.


Metodologi ubati penyakit jiwa

Amalan ini diakui metodologi sempurna dalam mengubati penyakit jiwa atau psikoterapi. Segala gangguan jiwa seperti kemurungan, fikiran berserabut dan cepat panik dapat diatasi dengan membaca al-Quran.

Lebih lama kita membacanya, jiwa menjadi semakin aman dan tenteram. Inilah rahmat kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang rajin berusaha untuk mendapatkannya.

Oleh itu, jadikan membaca al-Quran sebagai gaya hidup dan jangan membacanya ketika ditimpa masalah saja.

Kesungguhan membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati. Ingatlah Allah pada waktu lapang, tentu Allah akan ingat dan bantu kita ketika susah. Allah membekalkan mukjizat teragung al-Quran sebagai rahmat dan mereka yang membaca atau mendengar bacaan ayat suci itu akan diberikan Allah kekuatan dalaman.

Antara bacaan ayat al-Quran yang boleh dijadikan sebagai penyembuh jiwa ialah surah Yasin. Syeikh Mohd Alawi Al-Malik mengatakan, surah Yasin banyak kelebihannya kerana menurut Rasulullah, surah Yasin adalah hati al-Quran.

Sahabat Rasulullah, Abu Hurairah ada berpesan: “Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran dan akan banyaklah kebajikan dalam rumah itu dan akan datanglah malaikat ke rumah itu dan akan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya, rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran, akan mendatangkan kesempitan kepada penghuninya. Di samping itu, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.”

Selain itu juga, emosi marah sebagai contoh dapat dikawal dengan melakukan pergerakan fizikal kerana ia mampu melenturkan dan meredakan ketegangan saraf otak.

Air wuduk kekang amarah

Sabda Rasulullah, “Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika kamu masih marah, pada hal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wuduk untuk bersuci dan lakukan solat sunat dua rakaat.” Sesungguhnya air wuduk mampu memadamkan hati yang sedang menyala apinya.

Amalan pembacaan al-Quran seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana ternyata ia mampu merawat jiwa dan emosi manusia tatkala ditimpa dugaan dan kesusahan kelak.

Namun, kita perlu sentiasa ingat ujian yang diberikan kepada kita adalah untuk menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah supaya kita tidak lalai dalam beribadat kepada-Nya.

Thursday, June 6, 2013

Teduhan Kasih aka Hanya Aku


Assalamualaikum



Aku suke lagu ni...
mane xsukanye...tetiap petang duk layan cite Teduhan Kasih tu kat TV3...pulun jgk balik secepat mungkin semata-mata nak tengok cite ni




Lirik Lagu Hanya Aku - Hyper Act


Bersama janji kau sentuh rasa percaya
Hangat dinginmu mengundang rindu kecewa
Hanya aku dihuni sepi rasa kasihmu
  

[*] Hanya ku yang mencari
Rembulan masih ada
Mungkin seketika
Walau ku bahagia mengejar bayanganmu
Tak mungkin ku beroleh saat indah bersamamu
Hanya aku
  

Apakah mungkin berulang janji setia
Apa kan kekal ataupun menyambut duka
Dan dirimu di janji Sang Sempurna
Dan kecewa kini dipulih rasa kasihmu


Repeat [*]


Dihuni rasa rindu
Hanya ku yang mencari
Rembulan masih ada
Mungkin seketika
Walau ku bahagia mengejar bayanganmu
Tak mungkin ku beroleh saat indah bersamamu
Hanya aku


Dingin rasa kasihmu
Bagai bintang bersemi
Rindu janji bicara
Kekal selamanya
Walau sekadar mimpi
Tak pernah ku peduli
Selamanya kan ku pasti merindui dirimu
Hanya aku

Wednesday, June 5, 2013

Hidup bersederhana elak sikap dicela

Assalamualaikum


Dalam kehidupan hari ini, adakah wang boleh membeli segala-galanya atau benarkah wang menjadi punca segala-galanya.

Meniti arus kehidupan hari ini yang serba mencabar, wang yang mencukupi amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kehidupan tanpa wang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam kesukaran, tidak sempurna dan berdepan bahaya.


Dalam hal ini, sukar untuk membayangkan kehidupan segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mencari rezeki, tetapi sudah biasa berdepan dengan situasi ketiadaan wang. Namun, hakikatnya keadaan ‘terputus wang’ juga turut berlaku kepada mereka yang mempunyai kerjaya.

Keadaan ini berpunca kegagalan mengurus kewangan hingga menyebabkan mereka berhutang atau perbelanjaan melebihi pendapatan.

 
Pengurusan kewangan berhemat
Hutang adalah jalan penyelesaian sementara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, hutang boleh menyebabkan hidup menjadi lebih buruk seperti bankrap. Justeru, Islam menganjurkan umatnya mengatasi masalah menerusi pengurusan kewangan secara berhemat dan mengelak sikap boros.
Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana terutama dalam aspek perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan dengan sebaik mungkin atau ditumpukan kepada perkara yang perlu saja.

Membeli sesuatu yang tidak diperlukan tanda sikap berlebih-lebihan. Sikap itu dicela dalam Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141)

Islam turut menggalakkan umatnya menabung dan berjimat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Simpan sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).


Perbuatan berbelanja melebihi keupayaan kewangan melambangkan sikap lupa diri. Dalam hal ini, umat Islam perlu menyedari harta dimiliki anugerah daripada Allah SWT untuk dibelanjakan untuk tujuan kebaikan.

Belanja boros
Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas.” (Surah al-Israk, ayat 26)

Demikianlah Islam memberikan panduan dalam pengurusan sumber kewangan dan pendapatan. Jika tips yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunah ini diabaikan, maka ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan umat.
 
 
**Mmg zaman skg memerlukan duit utk idup sbbnye sume benda nak pakai duit.Tp perlu ingat,duit bukan blh beli segala-galanye especially kasih sayang.Tp klau kita dah senang duit lebih,jgn lupa plak sedekahkn pada mereka yg memerlukan.Jangan terlalu boros dlm berbelanja kerana membazir itukn amalan syaitan.Belanja barang yg perlu sahaja,xyahla nak membazir beli benda yg xperlu.Dan  jgnla pulak kita berlagak,riak,megah diri,sombong dgn kekayaan yg Allah kurniakan kpd kita.Dan jgn pulak keji,menghina org yg lbh susah dr kita serta jgnla kita dengki klau ade dia antara kwn2 kita yg ditakdirkn jumpa jodoh dgn org senang.Sebaliknye kita rs bersyukur dan bangga dgn ape yg diperolehi oleh kwn kita tu kerana xsemua org dpt seperti  apa yg kwn kita tu dpt...**

Thursday, May 30, 2013

Sifat lemah lembut eratkan silaturahim

Assalamualaikum

Bersifat lemah lembut dalam berkata-kata dan bertindak adalah sifat yang disukai Allah SWT. Insan yang sengaja memilih berhias diri dengan sifat mulia terpuji ini bukan saja mewarisi keperibadian rasul yang mulia, juga memenuhi ciri keindahan Islam.

Tanpa mengira di mana dan dalam suasana bagaimana, orang yang beriman sentiasa mempamerkan sifat lemah lembut, berlapang dada dan tenang.
Sifat lemah-lembut, sopan, mudah mesra dan sabar sesungguhnya mempunyai kuasa tarikan yang kuat terhadap masyarakat yang melihat. Sifat ini sangat serasi dengan Muslim yang bertanggungjawab menyeru manusia lain ke jalan diredai Allah SWT.


Sirah memaparkan bagaimana masyarakat jahiliah begitu senang menerima ajakan Rasulullah SAW mendekati agama Islam yang dibawanya. Jika berdakwah dengan cara kasar dan bernada sombong, sudah tentu tidak ada seorang pun yang terpengaruh, malahan semakin menjauh.

Allah SWT berfirman: “Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Rasulullah mengutamakan kemesraan dan kelembutan dalam pergaulan. Walau ada saja orang yang ingin berbuat tidak baik atau sakit hati terhadap Baginda, namun itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk menerangi manusia yang diselubungi kabus kejahilan.

Rasulullah SAW tetap tidak berganjak daripada menunjukkan sikap manis dan tidak pernah menampak kemarahan di wajahnya. Tindakan beginilah yang diajarkan Rasulullah SAW kepada umatnya.

Sifat lemah lembut bukan lemah

Ada beranggapan jika berlemah-lembut dalam sesuatu perkara menunjukkan kelemahan atau sikap tidak tegas hingga mudah dipermain orang. Anggapan itu tidak tepat kerana lemah lembut bukan bermakna lemah, tetapi secara tidak langsung melahirkan kekuatan tersendiri.

Contohnya, guru di sekolah yang selalu berlemah-lembut, mesra dan kaya dengan senyuman dalam pengajaran serta pembelajarannya akan menzahirkan sifat kasih sayang hingga menumbuhkan rasa kecintaan dalam diri murid-murid dan hormat terhadap guru.

Namun apabila bersikap kasar dan selalu marah dengan muka bengis, nescaya akan ramai murid yang menghindari bahkan menyalakan api kebencian terhadap guru. Kesimpulannya, jika kita selalu berlemah-lembut terhadap sesama insan akan menghasilkan banyak manfaat dan kebaikan.

Dari sudut lain, sifat lemah-lembut, berlapang dada dan sabar boleh menguatkan ikatan silaturahim sesama Islam, melenyapkan suasana perpecahan serta pergaduhan. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan atau tindakan yang boleh menghancurkan persaudaraan dan perpaduan.
 
 
 
**kadang2 tu ade jgk org yg kite nampak dia lemah lembut,muka nampak baik je,tp perangai lebih teruk dr org yg nampak ganas.Kadang2 tu ade yg perangai teruk dr org yg nampak liar.Org lain akan pandang mulia pada org yg lemah lembut,tp sebaliknye xsemua org yg nampak lemah lembut tu baik..btol x?...hehehe**

Thursday, May 23, 2013

Berzikir hati jadi tenang, malu lakukan dosa

Assalamualaikum



Istighfar bermaksud meminta keampunan kepada Allah SWT. Istighfar juga membawa maksud meminta dilindungi segala kesilapan, kesalahan dan memohon dibangkitkan dari alam kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban dilakukan tidak terdedah atau terbuka kepada umum.

Firman Allah SWT: “Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?” (Surah al-Imran, ayat 135)
Sehubungan itu, kita perlu mengingatkan diri serta orang lain mengenai azab Allah dan memohon keampunan dengan berzikir (istighfar) kepada Allah SWT supaya ditutupi segala dosa atau keaiban kita.

Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan memohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun” Surah al-Nasr (ayat 3)

Mukmin yang derhaka perlu yakin bahawa dosanya akan diampunkan dan dilindungi daripada pandangan orang ramai dengan syarat mereka perlu menyesali serta bertaubat bermula dari hati yang insaf terhadap kesilapan dilakukan.

Kemudian bertekad dengan sepenuh hati untuk tidak melakukan dosa lagi. Lakukan dengan seikhlas hati dan berterusan. Insya-Allah, Allah akan menerima taubat serta menyembunyikan segala keaiban serta diberi keupayaan untuk menentang kejahatan jika terlintas di hati melakukannya kembali.

Perlu juga ada perasaan malu dan gerun dalam hati kepada Allah untuk mengulangi kesilapan itu. Jika ini berjaya dilakukan, kita akhirnya menjadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan memohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Surah al-Nasr, ayat 3) Segala perbuatan bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati seseorang. Jika hati sentiasa bertasbih mengingati Allah, berzikir mengagungkan kebesaran serta kekuasaan-Nya, akan lahir perasaan malu yang menguasai diri hingga takut mengingkari suruhan-Nya.

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu! Kemudian sekalian sahabat bertanya: Apakah itu wahai Rasul? Baginda SAW menjawab: Zikir kepada kepada Allah.” (Riwayat al- Baihaqi)

Pesanan Imam Al-Bukhari, zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana dengan zikir ia akan mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Maka berzikirlah setiap masa supaya Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.

Zikir itu luas penggunaannya kerana mengerjakan sesuatu ketaatan kepada Allah juga dipandang sebagai zikir. Majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal agama, halal haram, menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir.

Oleh itu, sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir. Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah, Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir.

Allah berfirman: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)
 
sumber dr beritaonline

Wednesday, May 22, 2013

‘Alhamdulillah, di puncak Everest’

Assalamualaikum


‘Alhamdulillah’. Hanya ungkapan syukur itu yang mula-mula diungkap Pendaki Everest Felda 2013, Mohd Nasuha Shamsudin 21, ketika menjadi rakyat Malaysia termuda pertama sampai ke puncak Everest .
Beliau bersama lima daripada tujuh pendaki Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut (dpl), pagi semalam.
“Alhamdullilah dengan izin Allah SWT, saya kini berada di puncak Gunung Everest. Terima kasih semua,” katanya ringkas ketika masih berada di puncak dunia itu yang dihubungi melalui walkie talkie oleh wakil media dan pendaki sokongan di EBC, di sini.

Menurut anak jati FELDA Tersang 3 Raub Pahang itu, beliau pendaki terawal dalam kumpulannya yang tiba di puncak bersama seorang Sherpa dikenali sebagai Pemba yang mengiringinya sepanjang pendakian itu.


Foto
PESERTA ekspedisi ketika menjalani latihan mendaki Gunung Everest.


Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, dari FELDA Lok Heng Timur, Kota Tinggi Johor, pula menjadi pendaki kedua tiba di puncak pada jam 8.48 pagi waktu Nepal kira-kira 17 minit selepas Mohd Nasuha.


**Alhamdulillah,aku tumpang gembira dan bangga dgn kejayaan yang mereka capai ni.Semoga kejayaan dilain masa dapat dikekalkan.Tahniah juga buat pendaki2 semua.Korang memang terbaik lah..**






Tertonggeng dalam baldi

Assalamualaikum


Kuantan: Hanya kira-kira dua minit meninggalkan anak untuk menelefon suami, seorang wanita sesal seumur hidup apabila anak bongsunya berusia 14 bulan maut akibat lemas dalam baldi di rumahnya di Taman Putra Putri, Permatang Badak, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohamad Bilal Mohd Zawawi ditemui ibunya, Surianti Zahari, 34, dalam keadaan tertonggeng dengan kepalanya berada dalam baldi berisi air manakala kakinya ke atas dalam bilik air di bilik tidur utama.
Sebelum itu, Surianti meninggalkan Mohamad Bilal bersama seorang lagi anaknya, Nur Arina Damia dan anak saudaranya dikenali sebagai Shira, masing-masing berusia lima tahun manakala anak sulung pasangan itu, Mohamad Eusoff, 8, mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Jaya Gading.

Suami wanita itu, Mohd Zawawi Husain, 34, berkata, isterinya yang juga guru sebelum itu baru pulang dari sekolah dan masuk ke bilik tidur rumah sewa mereka bersama tiga kanak-kanak terbabit.


Foto
BILIK air tempat kejadian Bilal lemas dalam baldi.

Mohd Zawawi yang juga pegawai bank di Kemaman, Terengganu, berkata, Surianti kemudian menghubunginya untuk berbincang mengenai hasrat mereka membeli rumah.

**Kesian kat adik ni...rs takut pulak nak bg anak kecik main air kn.Si Damia suke sgt main air kat dalam baldi kalu time nak mandi kat bilik air...lepas ni xmo bg dia main air dah...sygg wei**


Sumber dr beritaonline

Saturday, May 18, 2013

Rasulullah ajar Ali dan Fatimah dua kalimah

Assalamualaikum

Ali melaporkan ketika bernikah dengan Fatimah, Rasulullah SAW mengirimkan bantal baldu, dua biji pinggan dan dua biji gelas kepadanya. Suatu hari selepas mereka berumah tangga, Ali berkata kepada Fatimah: “Aku telah menimba air hingga dadaku sakit. Allah ada menganugerahkan kepada Rasulullah SAW beberapa orang pembantu. Oleh itu, pergilah ke sana dan mintalah seorang pembantu untuk kita.”

Fatimah berkata: “Demi Allah, aku juga telah menumbuk gandum sehingga kedua-dua tanganku melepuh. Lalu, Fatimah menemui Rasulullah. Melihat kedatangan puterinya, baginda bertanya: Ada apa puteriku? Fatimah menjawab: Aku datang untuk memberikan penghormatan kepada ayah.”
Fatimah berasa malu untuk meminta sesuatu kepada Nabi sehingga dia pun pulang dengan tangan kosong. Akhirnya, mereka berdua (Ali dan Fatimah) menemui Rasulullah. Ali menceritakan keadaan mereka berdua kepada Baginda SAW. Mendengar perkara itu, Rasulullah bersabda: “Demi Allah, aku tidak boleh memberikan apa-apa pun kepada kamu. Aku juga meninggalkan ahli suffah yang kelaparan. Aku tidak mempunyai apa-apa yang boleh diberikan kepada mereka. Tetapi, aku menjual sesuatu (pembantu) dan hasilnya kuberikan kepada mereka.”



Ali dan Fatimah pulang ke rumah mereka. Kemudian, Nabi SAW mendatangi mereka dan mendapati mereka sedang berbaring berselimutkan kain baldu yang sangat kecil. Apabila mereka menariknya untuk menutup muka, kedua-dua kaki mereka terbuka. Sebaliknya, apabila mereka menariknya bagi menutup kedua-dua kaki, muka mereka pula terbuka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tetaplah di tempat kamu! Mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta kepadaku? Ali menjawab: Sudah tentu. Nabi SAW bersabda: Terdapat dua kalimat yang telah diajarkan oleh Malaikat Jibril kepadaku, iaitu kamu membaca kalimat tasbih, tahmid dan takbir masing-masing sepuluh kali selepas selesai melaksanakan solat. Sebelum tidur, bacalah kalimat tersebut setiapnya tiga puluh tiga kali.”

Pada waktu lain, Ali berkata: “Demi Allah, aku tidak pernah meninggalkan semua itu sejak diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ibn al-Kiwa’ bertanya kepada Ali: Meskipun pada malam Peperangan Siffin? Ali menjawab: Semoga Allah membinasakan kamu, wahai perompak! Ya, meskipun pada malam Peperangan Siffin.” (Direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2

Friday, May 17, 2013

Misi tawan 7 gunung

Assalamualaikum



Mendaki gunung dalam kalangan wanita sudah tidak asing lagi berbanding zaman dulu yang di dominasi lelaki. Kekuatan, kesungguhan, keberanian dan semangat wanita terhadap aktiviti lasak sebegitu semakin menjadi hobi digemari golongan itu.

Bagi Olga Rumyantseva, anak kelahiran Tver, Russia, mendaki gunung bukan lagi sesuatu yang sukar dan beliau sudah jatuh hati terhadap aktiviti lasak ini yang dianggap sebagai gaya hidup.
Tiada yang sukar bagi beliau kerana berpegang teguh kepada falsafah lakukan sesuatu sehingga berjaya mengikut cara sendiri. Lantaran itu, beliau mahu meneruskan misi mendaki tujuh puncak gunung Volcano Kaspersky di dunia dalam tempoh setahun


Misi pertama bermula Januari lalu adalah Sidley setinggi 4,285 meter. iaitu puncak gunung berapi yang diselaputi salji.

Tujuh gunung itu ialah Sidley (Antartika), Kilimanjaro (Tanzania), Gunung Giluwe (Papua New Guinea), Damavand (Iran), Elbrus (Russia), Pico de Orizaba (Mexico) dan Ojos del Salado (Chile, Argentina).

Olga bermula dengan hobi mendaki gunung. Gunung pertama diterokai ialah Caucasus, Gunung Khiniby dan gunung di Asia Tengah yang membuatkannya semakin bersemangat untuk menawan satu persatu gunung berkenaan.

Beliau kemudian menerima anugerah darjah pertama dalam bidang pendakian serta dilantik sebagai Pengarah Kelab Alpinism di Universiti State of Moscow dan akhirnya mencapai cita-cita menjadi jurupandu mendaki gunung.

Dapat sokongan penaja Walaupun disiplin mendaki puncak gunung dianggap antara riadah paling sukar di dunia, Olga tidak pernah gentar bahkan beliau bersedia melakar sejarah menjadi individu pertama mengharung cabaran menerokai tujuh puncak paling sukar di dunia lebih-lebih lagi apabila beliau disokong Kaspersky Lab.

“Saya menyertai Ekspedisi Tujuh Volcano Kaspersky bermula 11 Januari lalu dengan puncak pertama didaki ialah Sidley. Saya juga sudah menakluki Gunung Kilimanjaro di Tanzania,” katanya kepada FAMILI.

Pada awal tahun lalu dengan sokongan Kaspersky Lab (penaja utama Ekspedisi Antartika Komanwel Kaspersky menaja pendaki gunung Britain, Felicity Aston dan sekali gus menjadi wanita pertama dalam sejarah mencipta rekod baru dunia menyeberangi Antartika.

Sejak November 2009, syarikat itu menaja Ekspedisi Antartika Komanwel Kaspersky dengan membawa bersama-sama pendaki wanita dari Brunei, Cyprus, Ghana, India, Jamaica, New Zealand, Singapura dan United Kingdom dengan jarak lebih daripada 900 kilometer dari pantai Antartika ke Kutub Selatan untuk meraikan hari ulang tahun ke-60 Komanwel.

Justeru, Olga adalah wanita bertuah apabila ditaja Kaspersky Lab untuk ekspedisi solo mendaki tujuh puncak gunung tertinggi dunia.

Komitmen Kaspersky dilihat sebagai langkah baru menjalin kerjasama dengan pendaki wanita untuk mendaki gunung. Olga mempunyai falsafah tersendiri apabila membicarakan mengenai tujuh puncak tertinggi di dunia yang menjadi impiannya untuk diterokai.

Tujuh keajaiban dunia “Kenapa saya memilih tujuh puncak itu kerana angka itu sering dikaitkan dengan perkara lain yang menarik mengenai keajaiban dunia. Sama seperti tujuh benua, tujuh nota dan tujuh warna pelangi yang dikaitkan dengan kehebatan alam semula jadi.

“Inilah cabaran yang dinanti, setiap puncak di benua berasingan dan ia benar-benar menarik perhatian kerana ia ‘hidup.’ Daripada tujuh yang disenarai, empat daripadanya sudah saya kunjungi ketika menjadi penunjuk arah iaitu Elbrus, Pico de Orizaba, Kilimanjaro dan Damavand.

“Walaupun saya pernah membawa pendaki naik ke situ, seolah-olah ada panggilan untuk saya kembali mengunjungi lokasi berkenaan dengan cara saya sendiri dan saya mampu melakukan,” katanya.

Olga berkata, beliau memilih mendaki sendirian walaupun sudah menjadi kelaziman pendaki akan mendaki secara berkumpulan dan setiap individu mempunyai tugas tertentu ketika melakukannya.

“Saya akan mendaki tanpa pasukan dan tiada apa-apa sandaran. Saya tidak suka sukan yang membabitkan pasukan kerana saya tahu semuanya bergantung kepada saya sendiri. Bagi saya, mendaki ialah satu cara hidup serta suatu falsafah,” katanya.

Latihan fizikal Projek mendaki tujuh puncak gunung berapi ini juga seperti satu perjalanan ke setiap penjuru dunia kerana ia bukan saja membabitkan kemampuan fizikal, tapi juga tanggapan baru, mendapat kawan baru serta mengenali budaya mereka selain peluang bertemu banyak perkara baru terbuka luas.

Olga berpendapat kebanyakan gunung berapi mempunyai ketinggian lebih 5,000 meter dan gunung yang ingin didaki itu adalah gunung altitude tinggi serta memerlukan latihan fizikal yang serius. Sama seperti mana-mana gunung besar lain, tidak mustahil pendaki mungkin akan berhadapan cuaca tidak menentu ketika di puncak.

Sehubungan itu katanya, beliau perlu melatih badan dengan aktiviti fizikal yang lasak dalam persekitaran yang mana oksigen tidak mencukupi di udara, senaman fizikal, sama ada berjalan jarak jauh, berenang dan pelbagai lagi.

Paling penting ialah keinginan yang kuat untuk sampai ke puncak dan selebihnya bergantung kepada psikologi dan yakin mempunyai kekuatan bagi mencapai matlamat itu.

Berbalik kepada pengalaman mendaki gunung berapi Sidley, ia tidak semudah disangka dan perkara paling sukar bagi Olga adalah untuk sampai ke puncak kerana juruterbang tidak tahu di mana lokasi sesuai untuk menurunkannya, namun beliau gembira kerana Ekspedisi Tujuh Volcano Kaspersky itu adalah satu permulaan kepada cabaran yang akan dilakukan sepanjang tahun ini.

aku pun sebelom kawen dulu suke sangat panjat gunung  sampai ke Indon sane nun haa..
pantang je hari minggu mesti ke hutan la keje aku
boleh katakan setiap minggu aku ke hutan
masa tu aku takde perasaan penat langsung
yang aku tau jumaat petang da siap2 packing barang then tunggu kawan amek nak ke tempat sasaran je...ngegege
tp semenjak lepas kawen aku xpanjat gunung lagi da,da kene perintah berkurung da
padan muka aku kan...miahaha
semenjak lepas kawen aku da tutup buku xtvt outdoor aku
langkah je xsampai ke sane,tapi tetap tersimpan ketat dalam ingatan kenangan manis bersama kawan2 masa panjat gunung dulu...
kadang2 hati memberontak jugak bile tengok kawan2 duk post gambar kat fb yang dorang pegi panjat di merata2 tempat
dan sekarang salah sorang group kami telah sampai ke everest,dia bawa budak2 felda ke everest dan pendakian dorang bermula harini
semoga Abg Mie dan kawan seperjuangan selamat pergi dan balik dengan jayanye..amin

 

Thursday, May 16, 2013

Tersepit nangis sendiri

Assalamualaikum


Arini citer pasal Damia jela eh...
nak citer  pasal lain tak ade kot
ingatkan nak citer pasal percutian kami ke Tasik Banding hujung bulan lepas,tapi tak leh lagi sebab kamera ade kat umah jitra lagi
masa nak balik KL aritu tertinggal la plak kamera kat dalam kete kat umah sane
so,citer pasal Damia jela yek
memang rutin harian aku pepagi keluar rumah pukul 7.25pagi setiap hari bekerja hantar Damia ke rumah baby sitter dia
petang plak balik keje pukul 5.30ptg dari opis,sampai rumah baby sitter lebih kurang pukul 6.15ptg
amek Damia plak then sampai rumah lebih kurang pukul 6.35ptg...haa,macam tula rutin harian aku tetiap hari
ni pulak kisah selasa lepas
dia sendiri yang turun,lepas tu dia tak boleh nak naik dia nangis sediri
melalak bagai kene kutil...hehehe

sebenarnye dia bukan nanges ape,dia takut je
takut aku marah la tu


bila aku tengok dia lagi kuat dia nanges...ngegege


buat muka kesian plak...muuuuuuuuuahhh



ni pulak rutin harian Damia kat rumah
ade je keje dia bila kat rumah
habis semua dia angkut kasut selipar letak dalam kete dia
tak pon pegi letak dalam baldi kain kotor dia...hehehe



Wednesday, May 15, 2013

Kelebihan Rejab berdasarkan dalil

Assalamualaikum
Ulama muktabar sokong kelebihan beramal, tingkat hemah diri sempena
bulan mulia

Rejab ertinya mulia kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini. Pada 1 Rejab, mereka akan menyembelih unta sebagai korban. Selain itu, pada 27 Rejab jumhur, ulama bersepakat berlaku peristiwa penting dalam hidup Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj.



Kita perlu yakin berlakunya peristiwa itu kerana ada dalil qatie dalam al-Quran dan hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila diteliti kepelbagaian sumber daripada ulama, Rejab ada keistimewaannya tersendiri.

Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas seperti direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.


Matan hadis tak bertentangan nas al-Quran

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah, ayat 36, mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.


Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW menegaskan Rejab adalah bulan Allah iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab.

Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam lain.


Tiada larangan puasa

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi, apa yang disunatkan ialah kerana sunnah puasa terbabit.


Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu daripadanya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) pada zaman jahiliah. Maka, apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab: “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulama salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.
 

Fahami isu, dalil secara menyeluruh

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam supaya kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab.

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.


sumber dr beritaharianonline