Wednesday, June 27, 2012

-: Umat beriman beristirja’ cari kebaikan dunia, akhirat :-

Assalamualaikum

Umat beriman beristirja’ cari kebaikan dunia, akhirat
JIKA orang kafir mampu bertahan dengan penderitaan menimpa mereka, maka orang beriman dengan kekuatan jiwa pasti lebih kukuh benteng pertahanannya dan cinta kepada ketentuan takdir yang menimpa dirinya.

Berbekalkan jiwa dan imannya, seseorang itu akan mencari kebaikan di dunia dan akhirat dengan beristirja’ hanya kepada Allah SWT. Istirja’ maksudnya meyakini, mengakui, menyedari serta menyerahkan segenap kebaikan urusannya hanya kepada Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Pujian dan balasan disediakan kepada orang bersabar seperti firman Allah yang akan memberi keuntungan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat, pahala orang bersabar dilipat gandakan dengan hitungan tanpa batas serta mencapai kejayaan.
Tanpa kesabaran, cita-cita yang sudah di depan mata dan hampir dicapai akan hilang. Pemimpin besar dunia adalah orang yang gigih memperjuangkan cita-citanya tetapi mereka tidak pernah lekang daripada kesabaran menghadapi pelbagai rintangan yang menghadang.

Kekuatan dan kemenangan akan selalu bersama orang yang sabar dan sifat sabar juga menjadi perisai berdepan musuh. Malaikat akan menyambut, mengucap salam dan memberi penghormatan istimewa bagi orang yang sabar kerana mereka adalah mukmin yang dicintai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang yang sabar.” (Surah Ali-Imran, ayat 146)

Pendek kata, orang sabar akan memperoleh pelbagai kemuliaan, keutamaan, kurniaan pahala tidak terhitung banyaknya selain ampunan Allah dan syurga di akhirat kelak.
Menyedari hakikat banyaknya faedah daripada kesabaran ini, maka marilah kita memohon taufik dan inayah-Nya, semoga Allah SWT menjadikan kita semua hamba-Nya yang penyabar. Jadikanlah kesabaran itu perhiasan akhlak yang harus kita mohon kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Bersabarlah (hai Muhammad), dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yangmereka tipu dayakan. Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berbuat kebaikan.” (Surah anNahl, ayat 127-128)

4 comments:

thanks sudi baca dan komen kat blog ni :)