Friday, June 7, 2013

Kelebihan baca al-Quran

Assalamualaikum



Kelebihan baca al-Quran 
Amalan membaca al-Quran wajar dijadikan budaya hidup. - Gambar hiasan
 
 
 
Mukjizat besar tenangkan jiwa, kawal amarah

Kehidupan di dunia yang penuh pancaroba kini memaksa manusia supaya lebih bersabar dalam menjalani kehidupan seharian. Kadangkala kebahagiaan dan penderitaan datang bersilih ganti.
Perkara sebeginilah yang menguji daya tahan kekuatan seseorang Muslim sebenarnya sama ada mampu mengawal emosi ataupun sebaliknya.
Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan yang dihadapi. Kebiasaannya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi.



Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa Ibnu Mas’ud pernah berkata, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.


Baca al-Quran rawat emosi

Masyarakat Islam seharusnya sedar ubat paling mujarab untuk merawat emosi di kala ditimpa kesusahan adalah dengan membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan dan sering dilupakan kecuali apabila tiba bulan Ramadan saja.
Kitab suci teragung ini mampu memperkukuh kekuatan dalaman dan memberikan ketenangan jiwa dalam diri manusia selain menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut.

Muslim mengetahui dengan membaca al-Quran akan mendapat pahala, namun tidak ramai yang tahu membacanya adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’ ayat 82).

Ayat ini menjelaskan sesungguhnya orang yang mengamalkan ayat suci al-Quran akan mendapat rahmat melaluinya.

Firman Allah lagi bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57). Ini jelas menunjukkan masalah jiwa dan emosi boleh dirawat melalui amalan pembacaan al-Quran.


Metodologi ubati penyakit jiwa

Amalan ini diakui metodologi sempurna dalam mengubati penyakit jiwa atau psikoterapi. Segala gangguan jiwa seperti kemurungan, fikiran berserabut dan cepat panik dapat diatasi dengan membaca al-Quran.

Lebih lama kita membacanya, jiwa menjadi semakin aman dan tenteram. Inilah rahmat kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang rajin berusaha untuk mendapatkannya.

Oleh itu, jadikan membaca al-Quran sebagai gaya hidup dan jangan membacanya ketika ditimpa masalah saja.

Kesungguhan membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati. Ingatlah Allah pada waktu lapang, tentu Allah akan ingat dan bantu kita ketika susah. Allah membekalkan mukjizat teragung al-Quran sebagai rahmat dan mereka yang membaca atau mendengar bacaan ayat suci itu akan diberikan Allah kekuatan dalaman.

Antara bacaan ayat al-Quran yang boleh dijadikan sebagai penyembuh jiwa ialah surah Yasin. Syeikh Mohd Alawi Al-Malik mengatakan, surah Yasin banyak kelebihannya kerana menurut Rasulullah, surah Yasin adalah hati al-Quran.

Sahabat Rasulullah, Abu Hurairah ada berpesan: “Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran dan akan banyaklah kebajikan dalam rumah itu dan akan datanglah malaikat ke rumah itu dan akan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya, rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran, akan mendatangkan kesempitan kepada penghuninya. Di samping itu, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.”

Selain itu juga, emosi marah sebagai contoh dapat dikawal dengan melakukan pergerakan fizikal kerana ia mampu melenturkan dan meredakan ketegangan saraf otak.

Air wuduk kekang amarah

Sabda Rasulullah, “Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan duduk, berbaringlah. Jika kamu masih marah, pada hal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wuduk untuk bersuci dan lakukan solat sunat dua rakaat.” Sesungguhnya air wuduk mampu memadamkan hati yang sedang menyala apinya.

Amalan pembacaan al-Quran seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana ternyata ia mampu merawat jiwa dan emosi manusia tatkala ditimpa dugaan dan kesusahan kelak.

Namun, kita perlu sentiasa ingat ujian yang diberikan kepada kita adalah untuk menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah supaya kita tidak lalai dalam beribadat kepada-Nya.

1 comment:

  1. byk sgt kelebihan al-quran ni.so jom sama2 amalkan :)

    ReplyDelete

thanks sudi baca dan komen kat blog ni :)