Wednesday, January 9, 2013

BelAnja !kuT nAfsu bAwA Mus!bAh

Assalamualaikum


Umat Islam perlu amal pengurusan kewangan bijak

Menyediakan kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan diri dan keluarga adalah satu cabaran besar terutama bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Oleh kerana semua keperluan hari ini memerlukan wang, pengurusan kewangan bijak dan berhemat mesti diamalkan.
Berbelanja mengikut keperluan dan tidak berlebih-lebih satu kaedah pengurusan kewangan yang perlu diamalkan semua.

Dan orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut keperluan)” - Surah al-Furqan, ayat 67

Firman Allah SWT: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut keperluan).” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Membeli barangan atau membayar perkhidmatan tidak penting adalah punca pembaziran yang menyebabkan masalah kewangan timbul. Belilah hanya barang yang benar-benar diperlukan dan mendatangkan manfaat.



Tak terpedaya tawaran harga murah


Pengguna biasanya mudah terpedaya dengan tawaran potongan harga atau harga murah. Biarpun harga murah, tetapi jika ia tidak diperlukan, tidak ada untung membelinya. Sesungguhnya, sifat membazir adalah amalan syaitan yang perlu dijauhkan.
Setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza dari segi kewangan yang membawa kepada kuasa membeli juga tidak sama. Keadaan ini satu fitrah yang mempunyai hikmah tersendiri.

Firman Allah SWT: “Dan Allah telah melebihkan rezeki seseorang dari yang lain.” (Surah an-Nahl, ayat 71)

Kita perlu berusaha gigih untuk mendapat kehidupan lebih baik seperti dilakukan orang yang berjaya. Perniagaan secara atas talian semakin mendapat tempat. Cara ini memang mudah, tetapi perlu berhati-hati.

Pembelian secara atas talian mendedahkan pembeli kepada sikap ketagih membeli. Mereka membeli bukan berdasarkan kepada keperluan, tetapi mengikut nafsu dan ini tidak mendatangkan kebaikan.

Sikap mengikut nafsu memang tidak ada kesudahannya, sebab itu kewarasan akal perlu untuk mengatasi dan memperbetulkan nafsu yang membawa kepada kemusnahan. Berfikirlah sejenak sebelum membuat sesuatu keputusan.
 
 

Peniaga menipu

Aktiviti perniagaan sering terdedah kepada penipuan dan manipulasi. Terdapat peniaga yang tidak jujur cuba mengambil keuntungan secara salah seperti menaikkan harga terlampau tinggi dan menjual barang tidak berkualiti.

Kerjasama peniaga amat penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih daripada penipuan. Peniaga perlu mengamalkan etika perniagaan berdasarkan hubungan sesama manusia yang terikat dengan ketetapan hukum.

Bersifat jujur adalah aset penting perlu dimiliki peniaga. Sikap itu memberi kedudukan yang baik di sisi agama dan apa yang dilakukan akan menjadi amalan menguntungkan di dunia serta akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: “Peniaga jujur akan bersama-sama Nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Riwayat Hakim dan Tarmizi)

Peniaga yang melakukan penipuan biarpun mendapat keuntungan, hakikatnya dijanjikan kerugian. Kehidupan hasil tidak halal tidak membawa berkat sebab itu banyak individu biarpun mampu menimbunkan kekayaan, tetapi kehidupan semakin tertekan dengan masalah tidak diduga.

Firman Allah SWT: “Celakalah orang menipu dalam perniagaan. Apabila mereka mereka memesan barang, mahu mendapatkan barang bermutu dan sempurna. Akan tetapi apabila mereka menjual kepada orang lain, maka mereka akan mengurangkan mutunya.” (Surah al-Mutaffifin, ayat 1-3)

Allah SWT menguji peniaga tidak jujur dengan dikurniakan keuntungan, tetapi tanpa diduga kekayaan itu boleh lenyap disebabkan mengalami kerugian besar kemudiannya. Empayar perniagaan yang dibina beberapa tahun boleh runtuh hanya dalam masa yang singkat.

Firman Allah SWT: “Mereka itulah membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 16)
 


Urusan perniagaan berlandas ketakwaan
Bagi memastikan urusan perniagaan yang memberi keuntungan kepada peniaga dan pengguna, ia mestilah dijalankan dalam penuh ketakwaan. Peniaga memerlukan sokongan pengguna, manakala pengguna pula memerlukan barangan atau perkhidmatan yang disediakan peniaga.

Firman Allah SWT: “Jangan kamu makan hasil pendapatan perniagaan yang dilakukan secara salah, kecuali ia dilakukan dengan keredaan pihak yang kamu terbabit.” (Surah an-Nisa, ayat 29)



No comments:

Post a Comment

thanks sudi baca dan komen kat blog ni :)