Monday, December 10, 2012

Imbangi keperluan dunia, akhirat

Assalamualaikum


Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan diniatkan kerana Allah.



Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba' (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW).


Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadis sebagai ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga.

Bertentangan kehendak Islam

Perkara ini ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia berusaha gigih mencari penghidupan yang baik di dunia, bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata-mata hingga melupakan dunia sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah dan beramal seperti dituntut agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.

Manusia yang bijak itu ialah orang yang memperjuangkan hidupnya untuk kebahagiaan di akhirat. Akal yang dianugerahkan oleh Allah hendaklah digunakan untuk memikirkan persediaan hidup di akhirat.




Sumber koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Beritaharian.com

No comments:

Post a Comment

thanks sudi baca dan komen kat blog ni :)