Assalamualaikum
Elak sikap gopoh, ekstrem apabila berdepan provokasi musuh
Sikap sabar dan tertib dalam melakukan sesuatu usaha penting untuk mencapai kejayaan. Ibarat menaiki anak tangga, ia perlu dilakukan dari bawah satu persatu secara berperingkat-peringkat.
Sirah Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana sikap sabar dan istiqamah Baginda melaksanakan tugas menyebarkan Islam. Rasulullah SAW terpaksa menempuh kesukaran dan cabaran besar tanpa berputus asa dan jemu.
Setiap perkara dilakukan mengikut sunnatullah dan sebab itu Rasulullah SAW sanggup berdepan cabaran sebelum mencapai apa yang dihajati biarpun Baginda boleh memohon terus kepada Allah SWT untuk jalan mudah. Allah SWT tentu akan memperkenankan doa Baginda sesuai kedudukannya sebagai kekasih Allah SWT.
Tolak mohon kemenangan segera
Perkara ini dapat difahami melalui kisah Rasulullah SAW menolak permintaan Khabbab bin Al-Art supaya memohon kemenangan segera bagi Islam. Kata Khabbab: “Mengapa engkau tidak mendoakan untuk kita ya Rasulullah? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?”
Nabi Muhammad dengan muka yang merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda: “Sesungguhnya orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga tergelupas daging dari tulang dan dibelah dua dengan gergaji, tetapi tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, ia akan memberi kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga tidak takut serigala menerkam kambingnya, tetapi kamu minta disegerakan.” (Riwayat Bukhari).
Kita digalakkan berdoa memohon kepada Allah SWT, di samping berusaha dan bertawakal. Apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW adalah kita perlu bersusah untuk mendapat keredaan Allah SWT biarpun terpaksa berdepan ujian besar.
Setiap perkara dilakukan demi menegakkan agama mendapat pembalasan setimpal biarpun tidak membuahkan hasil seperti diharapkan. Allah SWT menilai berdasarkan niat dan keikhlasan melakukan sesuatu, bukannya berdasarkan apa yang mampu dihasilkan.
Firman Allah SWT: “Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 1-2)
Jiwa tak tenang mudah dipesong syaitan
Mereka yang berjihad di jalan Allah SWT perlu bersabar menempuh cabaran. Sikap terburu-buru akan menimbulkan banyak kesan buruk. Jiwa yang tidak tenang mudah dipesongkan oleh syaitan. Sabar, istiqamah dan bijaksana mesti diamalkan ketika berdepan kepayahan dan halangan.
Umat Islam perlu mengelak daripada sikap gopoh serta ekstrem apabila berdepan provokasi musuh-musuh Islam. Disebabkan tidak sabar menyebabkan kita tidak mampu mendepani provokasi sebaliknya bertindak membabi buta hingga memperlihatkan sifat tidak matang.
Bibit-bibit kejayaan hancur disebabkan tidak ada kesabaran. Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya bersabar dan mendidik mereka memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma atau sebelum tiba masanya.
Firman Allah SWT: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)
Jika sesuatu usaha tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan, bukan bermakna tidak ada satu pun kebaikan diperoleh. Sepanjang usaha itu tentunya telah berjaya mengubah daripada keadaan tidak baik kepada baik dan yang baik menjadi lebih baik.
Tak wajar korbankan prinsip perjuangan
Kegagalan tidak seharusnya merenjatkan usaha yang dilakukan selama ini. Malah tidak patut sekali-kali kita mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata ingin berjaya dengan cepat. Ingatlah, kejayaan yang dicapai tidak memberi apa-apa makna jika kesan sebenarnya adalah keburukan.
sumber dr berita harian